Penyanyi Ashira Aziz tampil memberi penjelasan berhubung lelaki yang kini mungkin dekat di hatinya.
Ashira berharap, dengan penjelasan tersebut, tiada lagi ‘surat layang’ dengan kata-kata biadab yang menuduh dia lupa diri.
“Saya mahu beritahu kamu sesuatu. Kerana imej saya muat naik di Facebook awal bulan ini, saya selalu dapat surat layang yang meminta saya sedar diri dengan kata-kata yang tidak beradab.
“Bukan sekali, dua. Ya, saya selalu sedar diri. Insya-Allah, saya belum pernah lupa diri.
“Saya kenali dia sejak berusia 14 tahun, bukan baru kenal ya! Lepas itu tergedik-gedik, tidak sedar diri. Saya bukan jenis macam itu hingga kamu boleh gelarkan saya b**ch,” katanya.
Menurut Ashira, lelaki berkenaan adalah crush yang pertama, namun hilang tanpa khabar dan mereka terputus sejak sekian lama.
Secara kebetulan, mereka bertemu semula pada 30 Ogos lalu kerana adiknya berada dalam satu band muzik yang sama.
“Kami dengan kehidupan masing-masing. Terserempak di mana-mana, hanya ucapkan hi, apa khabar dan bye. Kalau tengok gambar, tekan like pun tidak. Itu kisah lama.
“Saya suka ayat ini; jika seseorang ditakdirkan untuk anda, tidak kira berapa lama, berapa jauh atau berapa individu pernah ada dalam hidup anda, dia tetap akan jadi milik anda.
“Semuanya bergantung pada masa. Jika itu yang Allah tetapkan. Syukur. Saya minta maaf pada yang tidak berkenan tengok kami berkawan. Bukan saya rancang semua ini. Saya percaya rancangan Allah. Dia adalah perancang terbaik,” ujarnya.
Pada akhir coretannya itu, Ashira mengucapkan terima kasih buat pemilik akaun Instagram @fairulezuanisa kerana perjalanan bulan yang paling indah.
“Seinci lagi pintu hati tertutup sebab sudah penat, sangat, sangat penat. Jangan lenyap lagi,” katanya.
Ashira sebelum ini mengumumkan perceraian dengan Bad dari kumpulan Indigo pada 23 Jun lalu di media sosial lebih setahun mendirikan rumah tangga. – BOOM!