Ditawarkan membintangi filem ketenteraan iaitu Malbatt: Misi Bakara yang selesai menjalani penggambaran di Tukiye baru-baru ini ternyata menjadi satu pengalaman baharu buat Dafi Ismail.
Menganggap peluang diterimanya sesuatu yang berbeza sepanjang 15 tahun pembabitan dalam industri seni tempatan, Dafi atau Gadaffi Ismail Sabri, 34, mengakui, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadi askar.
“Bukan awak semua saja yang pelik, saya sendiri pun rasa pelik. Dah 15 tahun dalam bidang ni, tak terfikir pun saya akan lakonkan watak tentera.
“Jadi apabila dapat peluang ini, semestinya ia sangat berbeza dan takkan saya lepaskan begitu saja,” ceritanya.
Dia berkata demikian sewaktu ditemui pada majlis pelancaran filem berkenaan, di samping memperkenalkan barisan pelakon yang menerajui naskhah arahan Adrian Teh itu.
BACA: Filem Termahal Dalam Sejarah, Kos Pembikinan Malbatt: Misi Bakara Telan Belanja RM20 Juta
Dia yang juga anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, status dimiliki bukan bermakna dirinya mendapat laluan mudah bagi merebut tawaran lakonan.
“Jujurnya, saya tak pernah rasa apa-apa keistimewaan biarpun bapa seorang pemimpin negara.
“Kalau ada orang nak bagi layanan istimewa tanpa diminta, saya terima sahaja. Paling penting, saya tak meminta-minta. Apapun, terima kasih kepada ayah saya sebab bekerja keras.
“Saya positif saja, cuma tumpang sikit-sikit. Tak apalah kalau ada orang cakap negatif sebab saya tak boleh tutup mulut mereka,” akurnya memahami.
Selain Dafi, Mallbatt: Misi Bakara juga ditunjangi barisan pelakon handalan seperti Bront Palarae, Zahiril Adzim, Gambit Saifullah, Taufiq Hanafi, Hairul Azreen, Theeban G, Ikhram Juhari, Syazwan Zulkifly, Iedil Putra, Safwan Nazri, Nafiez Zaidi, Adlin Aman Ramli dan Fauzi Nawawi. – BOOM!