Personaliti yang beberapa kali merangkul gelaran penyampai radio popular, Faizal Ismail pada minggu lalu kembali bertugas di konti selepas sembilan tahun meninggalkan dunia penyiaran.
Mengendalikan segmen Zayan Pagi di samping Anas Tahir dan Mawi, Faizal atau Mohd Faizal Ismail, 46, akui menerima sebanyak lima tawaran daripada pelbagai stesen radio selepas khidmatnya di Hot FM tamat pada 2013.
“Selepas kontrak saya tamat di Hot FM, saya buat keputusan untuk bekerja sendiri dan sepanjang tempoh itu, lima buah stesen radio menawarkan saya kerja.
“Kira-kira dua tahun lalu, saya mendekatkan diri kepada agama dan atas faktor tersebut, Zayan FM adalah tempat yang sesuai untuk saya membuat comeback,” ulasnya.
Faizal memaklumkan, dia bersetujua mengikat kontrak selama empat minggu terlebih dahulu bagi pihak pengurusan Zayan menilai perkhidmatannya sebelum meneruskan untuk terus aktif selaku penyampai di stesen berkenaan.
“Segmen pagi dilihat nadi kepada semua stesen radio dan menjadi satu cabaran besar buat saya untuk lebih kreatif menarik minat pendengar.
“Kalau diperhatikan, semakin ramai penyampai lama kembali bekerja. Ini membuktikan orang lama masih berbisa,” katanya.
Justeru dia berharap agar gabungan penyampai lama dan baharu dapat memberi penambahbaikan terhadap industri penyiaran radio ke tahap yang lebih membanggakan. – BOOM!