Tiga kugiran popular tempatan bakal menggamatkan suasana di Havoc Midnight Concert yang dijadualkan berlangsung di Dataran Karnival Stadium Shah Alam pada 3 dan 4 September ini.
Menampilkan K-Clique, Masdo dan Floor 88, mereka semua dijangka menghiburkan para pengunjung yang membanjiri dataran tersebut bersempena Havoc Food Festival & Malaysian Culture 6.0.
Selain itu, turut berkongsi pentas membuat persembahan selama dua malam berturut-turut ialah Yonnyboi, Zyn Akal dan Noh Salleh yang mempertaruhkan kehebatan masing-masing dalam memeriahkan acara.
Penonton boleh menyaksikan nyanyian artis pujaan mereka dari jam 10 malam dengan pilihan harga tiket yang bermula serendah RM69 hinggalah mencecah RM120.
Lebih menarik, seandainya terlepas persembahan di Shah Alam, peminat boleh ‘mengejar’ semula peluang tersebut dengan barisan artis yang sama di MITC Melaka pada 4 hingga 6 November depan.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan Havoc Midnight Concert diteruskan pula di lokasi ketiga iaitu di Padang B, Plaza Angsana Johor Bahru, Johor pada dua malam terakhir sebelum 2022 melabuhkan tirainya, sekali gus meraikan sambutan tahun baharu pada 1 Januari 2023.
Justeru, khalayak boleh membuat pilihan sama ada mahu menggegarkan atmosfera di Shah Alam, Melaka atau Johor Bahru dengan membeli tiket konsert di laman www.ticket2u.com.
Selain hiburan, turut berlangsung adalah festival makanan dan jualan yang menjadi trademark acara serta mendapat kerjasama daripada Tourism Malaysia sejak ia dianjurkan pada 2019. – BOOM!