Baru tiga hari ditayangkan, filem Air Force: Selagi Bernyawa diumumkan telah meraih kutipan jualan tiket mencecah hingga RM6 juta.
Berita tersebut diumumkan menerusi akaun Instagram rasmi filem aksi berkenaan malam tadi.
“Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa berjaya mengutip RM6 juta dalam tempoh tiga hari tayangan.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyokong filem ini,” memetik kapsyen yang dimuat naik menerusi hantaran itu.
Filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See itu dipersembahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro, FXHammer Films dan SixFun Media.
Ia mengisahkan tentang Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang terkandas di Namburi selepas kapal terbang TUDM ditembak musuh.
Air Force The Movie : Selagi Bernyawa menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As’ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Jack Tan, Iman Corinne, Fify Azmi, Scha Alyahya dan Carmen Soo. – BOOM!