Program realiti pencarian bakat lakonan terbaharu yang diberi nama Fit For Action bakal ditayangkan di kaca televisyen menerusi stesen TV3 bermula 3 September ini.
Seramai 12 peserta telah diperkenalkan sewaktu sesi sidang media dan salah seorang yang terpilih ialah Danish Hakim iaitu anak kepada Norman Hakim dan Abby Abadi.
Biarpun dikenali sebagai anak kepada pasangan selebriti berkenaan, namun beranggapan bahawa Danish tidak akan terjun ke bidang lakonan kerana dia dilihat lebih cenderung ke arah keagamaan memandangkan latar belakangnya yang belajar di sekolah tahfiz.
Menurut Danish yang baru berusia 19 tahun, sebenarnya dia mempunyai minat mendalam untuk meneruskan legasi ibu dan bapanya sebagai pelakon.
“Sejujurnya sewaktu awal-awal pergi ke ujibakat Fit For Action, saya sekadar mahu mencuba nasib kerana mahu meneruskan legasi ibu dan ayah.
“Lama kelamaan, saya baru jumpa sebab utama kenapa mahu menceburi bidang ini. Saya boleh mengekspresikan diri dalam lakonan.
“Saya juga terlibat dengan seni mepertahankan diri jadi saya rasa ini adalah platform yang terbaik untuk saya tonjolkan bakat yang saya ada,” katanya.
Ditanya kegusarannya andai pelibatan dalam program ini adalah disebabkan oleh kedua-dua ibu bapanya yang juga merupakan pelakon, kata Danish dia tidak dapat elak daripada perkara itu.
“Ya, memang saya anak Norman Hakim dan Abby Abadi. Saya bangga menjadi anak mereka, tetapi saya juga mahu mencipta nama sendiri. Saya juga dinasihatkan oleh beberapa orang di dalam industri ini untuk menguatkan nama Danish Hakim.
“Insya-Allah kalau saya berjaya satu hari nanti pun adalah disebabkan oleh doa dan restu daripada ibu bapa saya,” katanya.
Melihatkan personalitinya yang dicop sebagai ‘budak baik’, ramai mempersoalkan pembabitannya dalam bidang lakonan.
“Ibu mula-mula dia tak bagi tetapi lama kelamaan dia boleh terima dan menyokong saya. Sebelum saya ceburi bidang ini, dia banyak bercerita tentang sisi gelap industri ini.
“Memang orang tahu saya banyak belajar tentang agama. Bila belajar agama mesti orang akan beranggapan bahawa saya akan jadi ustaz atau agamawan. Tetapi minat saya lebih ke arah lakonan,” ujarnya.
Tambah Danish lagi, dia turut terharu apabila diberitahu sendiri oleh tenaga pengajar, Ellie Suriaty bahawa industri lakonan memerlukan orang sepertinya.
“Kak Ellie kata orang baik macam saya amat diperlukan dalam industri ini. Mungkin kerana saya selalu segerakan solat dan pernah mengetuai bacaan doa sewaktu sesi penggambaran bersamanya.
“Dia memberikan semangat untuk saya untuk merebut tempat sebagai orang baik yang diperlukan di dalam industri seni,” kongsinya.
Ditanya adakah dia bersedia untuk menghadapi situasi andai diminta untuk melakonkan babak-babak mesra dan bersentuhan, kata Danish sebelum menyertai program ini, dia sudah meletakkan syarat.
“Sewaktu tandatangan kontrak, saya sudah beritahu dengan jelas apa yang saya boleh buat dan tidak agar tiada kekeliruan yang berlaku kerana saya berbeza dengan yang lain.
“Orang ramai sudah kenal saya macam mana sebelum ini. Jika mereka lihat saya lakukan perkara yang kontra dengan personaliti saya, pasti saya akan kena serang dengan netizen,” maklumnya.
Antara syarat yang ditetapkan oleh Danish ialah tiada body contact atau adegan bersentuhan serta dia harus segera menunaikan solat setelah masuk waktu. – BOOM!