Ira Kazar, wanita yang didakwa mengganggu rumah tangga pelakon, Puteri Sarah dan suaminya juga pengarah Syamsul Yusof telah dipanggil ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), semalam.
Difahamkan, ia bagi membantu siasatan berhubung tindakan saman yang difailkan Puteri Sarah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur serta dua aduan di pejabat agama terhadap wanita itu baru-baru ini.
Memetik sumber, Harian Metro melaporkan kehadiran Ira turut ditemani keluarganya. Untuk rekod, Ira ialah anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi.
Bagaimanapun, Jawi enggan mengulas lanjut apabila diminta berbuat demikian.
Sebelum ini, Puteri Sarah telah memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap Ira.
Menurut aktres itu, dia tekad mengambil tindakan undang-undang selepas empat tahun kerana tidak tahan menanggung derita dan sabar.
Katanya, dia ingin mempertahankan maruahnya yang tercalar selepas sekian lama mendiamkan diri dan mahu menuntut keadilan serta memperjuangkan haknya sebagai wanita teraniaya.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3. – BOOM!