Mewakili negara ke pertandingan World Championship of Performance Arts (WCOPA) di Amerika Syarikat baru-baru ini, peragawati jelita, Meema Teh nyata tidak mengecewakan.
Berada di negara Uncle Sam itu dari 22 hingga 30 Julai lalu, dia mencabar dirinya untuk menyertai kategori peragaan, sekali gus bersaing dengan puluhan peserta dari 70 buah negara.
“Saya masuk pertandingan ini bukan sebab nak tunjuk bagus atau berlagak. Tetapi sekadar mahu menduga bakat sendiri, nak tengok boleh pergi sejauh mana.
“Alhamdulillah, saya berbangga atas pencapaian diri sendiri kerana tidak pulang dengan tangan kosong.
“Saya berjaya raih tiga pingat kesemuanya. Satu perak bagi acara formal, manakala dua gangsa masing-masing untuk kasual dan fotografi,” ceritanya berasa teruja dan bangga.
Aktif di pentas peragaan, Meema atau nama penuhnya Fatin Hamimah Noh, 28, berazam akan memanfaatkan pengalaman diperolehinya di WCOPA untuk mengorak langkah lebih jauh dalam industri seni tanah air.
“Selain menjadikan karier modeling untuk menjana pendapatan, saya juga berjinak-jinak jadi pelakon.
“Harapnya kejayaan ini menjadi titik mula yang mampu membawa diri saya ke lapangan lebih besar,” kata gadis berdarah kacukan Melayu-Siam-India itu. – BOOM!