Pemain keyboard Floor 88 iaitu Eric Fuzi memohon maaf secara terbuka kepada wakil media atas kekhilafan dilakukannya sewaktu sidang akhbar virtual telefilem Hutang 2D tahun lalu.
Eric yang menghadiri majlis keraian sempena ulang tahun kelima Floor 88 semalam mengakui, dia sebenarnya tidak bermaksud mencetuskan kontroversi atau menimbulkan salah faham dalam kalangan wakil media.
“Cuma sebagai manusia biasa, saya tidak terlepas daripada membuat khilaf.
“Justeru di kesempatan ini, saya minta maaf sepenuh hati kepada semua wakil media yang selama ini banyak membantu Floor 88,” ujarnya.
Pernah dikenali sebagai pelakon kanak-kanak sejak kecil, Eric memaklumkan dia amat berharap permohonan maafnya diterima baik.
Tambahnya, Floor 88 mahu mengekalkan hubungan baik dengan rakan media hiburan tempatan.
Kata Eric atau Muhamed Eric Bin Muhamed Fuzi, 30, dia memohon maaf dengan rela hati bermula sejak Ramadan lalu.
Terdahulu, pertelingkahan antara Eric dan media berlaku apabila dia menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terhadap laporan berita yang menyentuh sisi peribadinya berhubung keterpaksaan dirinya menggunakan wang simpanan selepas dua bulan tiada sumber pendapatan dek pandemik. – BOOM!