Demi mempertahankan maruah dan karya dihasilkan, produksi Gadis Jolobu The Movie bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pemilik laman YouTube, Zhafvlog gara-gara ulasan yang disifatkan mengaibkan.
Pengasas bersama Zebra Studio dan Penerbit Eksekutif, Saraleana Nattaya Azmi berkata, tindakan itu diambil gara-gara ulasan tidak beradab dilemparkan yang antaranya menggelar karya berkenaan sebagai ‘infinity shit.’
“Dia siapa nak kritik filem saya? Adakah dia mempunyai kelayakan mengkritik filem?
“Kalau YouTuber ini pengkritik filem berkelayakan dan ada ilmu perfileman, saya mungkin boleh pertimbangkan kritikan diberikan.
“Tetapi, lontaran bahasanya bukan cerdik pandai seperti pengkritik filem. Jadi, saya dan CL Hor juga mempunyai hak mempertahankan maruah dan karya dihasilkan.
“Saya sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan saman. Tunggu surat saman akan sampai, tidak lama lagi,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: “Lah, Poster Pun Plagiat?” – Filem Gadis Jolobu The Movie Teruk Dikritik Penonton
Saraleana berkata, dia sedar kemunculan platform media sosial seperti YouTube, Facebook dan Instagram membolehkan sesiapa sahaja membuat ulasan filem, sekali gus menjadi pengkritik filem.
Namun, menurutnya, penggunaan bahasa kurang adab bagi menarik perhatian dalam membuat ulasan bukanlah cara yang baik.
“Seharusnya, kritikan diberikan menggunakan bahasa yang sesuai mengikut etika agar tidak menyinggung perasaan sesiapa, terutama penerbit yang mengeluarkan bajet berjuta-juta untuk menghasilkan sesebuah karya.
“Saya mungkin penerbit baharu, tetapi saya tidak terasa disebabkan mempunyai sokongan kuat. Cuma, saya risaukan penerbit baharu yang mungkin tiada sokongan seperti saya.
“Saya percaya pasti ada yang luntur semangat apabila filem menjadi mangsa kritikan. Adakah YouTuber ini layak memberi kritikan filem dengan bahasa tidak beradab seperti ini?
“Caranya salah kerana apa yang ditulis adalah fitnah. Nak kritik biarlah ada ilmu filem, bukan berdasarkan serangan peribadi,” katanya.
Bagaimanapun, Saraleana berkata, dia optimis selepas menerima komen positif daripada Yang-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang mencemar duli menghadiri tayangan filem Gadis Jolobu bersama barisan pelakon di GSC Pall Mall, Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin.
Selain itu, majlis berkenaan turut dihadiri kerabat diraja lain.
Dalam pada itu, Saraleana turut menafikan filem Gadis Jolobu mempunyai adegan lucah yang boleh menjatuhkan imej filem tempatan.
“Jika ada elemen lucah, seksi atau sebagainya, sudah tentu tidak melepasi Lembaga Penapisan Filem (LPF). Ia bermaksud tiada adegan lucah dalam filem ini,” katanya. – BOOM!