Pendatang baharu, Nick Davis mengakui sangat mencabar apabila dirinya sebagai individu berbangsa Cina untuk beraksi di pentas pasaran Melayu.
Begitu pun, Nick menyahut cabaran tersebut dengan hati terbuka dan terus mencanai bakat agar dapat menempa nama sebaris rakan industri seperti Alvin Chong dan Sean Lee.
“Saya tak nafikan berlakon dalam arena majoriti pelakon Melayu sebenarnya memang mencabar.
“Tetapi sejujurnya, sekalipun tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk fikir fasal kekurangan atau kelebihan diri ketika sedang bekerja.
“Lagipun, saya seorang anak Malaysia. Mungkin ini kedengaran klise, namun berlakon dengan hati yang ikhlas dan jujur dalam satu-satu watak itulah kunci utama, selain boleh berbahasa Melayu dengan baik,” katanya.
Tambah Nick, menerusi pelbagai watak, dia sentiasa dapat mempelajari perwatakan baharu dan disebabkan itulah minatnya terhadap bidang lakonan sentiasa mekar.
Sebagai informasi, antara pembabitan seni lakonnya adalah filem Telekinesis dan Gadoh serta drama bersiri Beriani Gam Kak Aspalela.
Untuk rekod, Nick pernah menjulang trofi Anugerah Skor Muzik Asal Terbaik menerusi naskhah Two Sisters arahan sutradara terkenal iaitu James Lee pada malam Festival Filem Malaysia ke-30. – BOOM!