Penyanyi Ariff Bahran meluahkan kesyukuran apabila isterinya Amirah Syazwani Mohd Ridzuan, 28, selamat bersalin bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor, jam 3.32 pagi, hari ini.
Ariff Bahran, 24, atau nama sebenarnya Muhammad Ariff Bahran Ahmad berkata, isterinya mula dimasukkan ke hospital sejak kelmarin selepas mengadu sakit.
“Alhamdulillah, isteri saya bersalin normal dengan berat anak 2.5 kilogram (kg). Isteri masuk hospital kelmarin dalam pukul 1.30 pagi sebab dia pun sudah ada rasa sakit-sakit waktu itu. Enggan tanggung risiko saya bawa isteri untuk masuk wad lebih awal.
“Syukur isteri dan anak berada dalam keadaan sihat. Isteri saya pun sudah berjalan-jalan di hospital walaupun saya melarangnya” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Menurut Ariff Bahran yang popular menerusi lagu Kata Akhirmu, dia turut menemani isterinya di dewan bersalin.
“Saya memang teman isteri dalam bilik bersalin. Selepas anak selamat dilahirkan, air mata gembira keluar. Saya berasa sangat bersyukur dengan zuriat yang dikurniakan Allah SWT.
“Sepatutnya, isteri bersalin secara ‘induce’ kerana laluan tidak terbuka tetapi akhirnya dipermudahkan dan dia dapat bersalin secara normal.
“Jadi, saya rasa rezeki macam itu yang kadang-kadang kita tidak nampak dan saya sangat bersyukur,” katanya.
Mengenai nama anak, Ariff berkata masih dalam proses memilih nama yang sesuai.
Terdahulu, Ariff dan isteri bernikah pada 3 September lalu di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam, Selangor selepas hampir tiga tahun berkenalan.- BOOM!