Bergelar anak seni sejak usianya masih kanak-kanak, keperibadian penyanyi dan pelakon, Naim Daniel diakui cukup menyenangkan. Namun baru-baru ini, pengikut akaun Instagram miliknya dikejutkan dengan sikap agresif artis remaja berkenaan yang menghamburkan kata-kata makian terhadap seorang individu.
Berkata kepada Boom!, Naim bagaimanapun mempertahankan tindakannya itu kerana menyifatkan dia juga manusia biasa sama seperti orang lain.
“Cukup pantang apabila ada pihak yang menyentuh maruah keluarga terutama jika ia melibatkan kedua-dua ibu bapa saya. Jangan jadikan status artis saya sebagai sempadan untuk sewenang-wenangnya memperkotak-katikkan maruah kami sekeluarga!” tegasnya memberi amaran kepada individu terbabit.
Enggan memanjangkan isu berkenaan, Naim kemudiannya bertindak memadam entri tersebut selang beberapa jam selepas ia dimuat naik.
“Selama saya bergelar anak seni dan menggunakan platform sosial media, saya sama sekali tidak pernah melakukan hal sebegini. Akan tetapi, sebagai seorang anak, tipu jika saya menafikan kemarahan yang dirasai apabila soal kelambu disingkap sedemikian rupa secara umum,” jelasnya membela diri.
Dalam perkembangan lain, Naim bersyukur apabila single solonya, “Purnama” serta lagu trio bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli berjudul “Lara” masih kekal bertahan di kebanyakan carta muzik tanah air.
“Tidak lama lagi, jika tiada aral melintang, saya merancang untuk keluarkan sebuah single baharu. Namun ia bergantung kepada keadaan semasa,” tambah Naim mengakhiri perbualan.