Pelakon Intan Najuwa berasa cukup teruja membawakan karakter wanita ‘boyish’ atau tomboy menerusi drama terbaharunya, Jodohku Babysitter.
Walaupun begitu, Intan bersyukur dan lega kerana dia tidak perlu mengorbankan rambut panjang yang selama ini menjadi imejnya.
“Jujur, sebenarnya watak Adelia dalam drama ini berperwatakan kasar dan boyish. Namun pengarah tak nak dia nampak terlalu lelaki sebab Adelia masih ada keayuannya.
“Memang pada awalnya pengarah minta saya potong rambut, tetapi setelah berbincang, watak ini boleh juga dijayakan dengan mengikat rambut dan pakai topi.
“Tak semestinya kena potong rambut baru boleh nampak boyish,” katanya.
Jodohku Babysitter yang diarahkan oleh Hadith Omar ini menampilkan gandingan pertama Intan bersama penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz.
Drama ini menghiasi slot MegaDrama Astro Ria (104) yang ditayangkan pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam. – BOOM!