Wajah baharu yang membintangi drama rantaian popular Setelah Terlafaznya Akad 2 iaitu Musyi Mohtar mendedahkan dia kerap menerima kiriman mesej di akaun Instagram miliknya.
Kebanyakan mesej diterimanya berbaur ugutan dan peringatan, di samping menjadi tempat luahan perasaan penonton yang geram menonton watak bernama Ida lakonannya.
“Ramai yang DM sebab nak luahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap watak Ida.
“Ada yang cakap pada muka bila kena cili dengan Nawal. Siap ada tu bagi warning suruh berhenti goda laki orang,” ceritanya berkongsi pengalaman.
Menurutnya, momen paling sukar nak dilupakan apabila terserempak dengan seorang makcik di luar kedai makan dan merenungnya.
“Dia tenung saya lama. Lepas tu dia tanya saya ni Ida atau tak. Kemudian makcik tu pesan jangan menggatal dengan suami orang,” kongsinya lagi.
Pun begitu, Musyi menganggap respons diterimanya itu menunjukkan keberkesanan lakonannya dalam drama tersebut dan mengambilnya secara positif. – BOOM!