Bermula sebagai rakan atlet di gelanggang badminton memandangkan kedua-duanya aktif bermain sukan raket tersebut, akhirnya Azhar Osman melamar Sue Sauffi menjadi isterinya.
Bekas anggota kumpulan duo Azhael itu menerusi media sosial memaklumkan dia sah bergelar suami hanya dengan sekali lafaz sahaja dalam majlis yang berlangsung siang tadi.
“Alhamdulillah sekali lafaz,” tulisnya ringkas di kapsyen Instagram berkongsikan berita gembira tersebut.
Penyanyi lagu Ternyata Itu di sisi Sue ibarat merpati dua sejoli apabila mereka nampak kacak dan anggun mengenakan busana tradisi berwarna putih suci.
Upacara pernikahan Azhar dan Sue diadakan di sebuah masjid di Pandan Indah, Ampang dan sejurus diijabkabulkan, pasangan mempelai berkenaan diraikan di rumah pengantin perempuan di Taman Merdeka, Ampang.
Menurut sumber majlis resepsi bagi meraikan pengantin baharu itu akan berlangsung pada Isnin ini di Grand Hall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. – BOOM!