Selepas pelakon Idris Khan tampil memuat naik kenyataan rasmi mengenai saman perjanjian kontrak sebuah drama terbitan A Aida Production, Sekali Lagi Cinta Kembali, pelakon Amelia Henderson turut membuat kenyataan sama.
Amelia senada dengan Idris bahawa tuduhan yang dilemparkan tidak berasas dan tidak benar.
“Saya dapat tahu pun menerusi online ketika saya bekerja. Saya percaya hal ini boleh diselesaikan secara tertutup tanpa melibatkan media atau pun audiens.
“Saya faham tentang perjanjian kontrak itu. Tetapi saya tidak melanggar. Saya menandatangani kontrak berkenaan pada bulan Februari lalu.
“Bila saya menandatangi kontrak itu, belum ada tarikh tetap bila produksi akan mula,” luahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] “Mereka Dah Melampau!” – A Aida Bakal Saman Amelia Henderson Dan Idris Khan
Jelas Amelia lagi, pada bulan Mei, penggambaran belum dijalankan dan skrip belum diberikan dan para pelakon masih menantikan tarikh penggambaran.
“Bila saya sudah tanda tangan kontrak, bermakna saya akan berikan komitmen sepenuhnya. Ada sesi bacaan skrip pada bulan 12 Jun dan pada hari berkenaan masih belum ada ketetapan tarikh bila penggambaran akan dimulakan.
“Perkara secara tidak langsung sudah lewat sebulan. Pada masa sama kami dalam perbincangan mengenai bila hari produksi akan habis sebab sudah melebihi had masa kontrak seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak,” katanya lagi.
Menerusi video itu, Amelia menekankan pada hari bacaan skrip sebenarnya lebih kepada sesi pengenalan barisan artis dan sesi mengenali watak serta perwatakan.
Mengagumi watak dan naratif naskhah mengenai pemerkasaan seorang wanita, Amelia sebaliknya berkata, penerangan tentang naskhah itu bercanggah dengan prinsipnya.
ARTIKEL BERKAITAN: “Tunggu Kenyataan Rasmi Saya” – Disaman A Aida, Amelia Henderson Perlu Masa Untuk Jawab
“Saya sebagai pelakon bertanggungjawab untuk mempamerkan contoh yang baik sebagai seorang pelakon mahu pun pempengaruh.
“Sebagai seorang wanita saya tak boleh menjiwai watak ini dan saya tertekan. Malahan tidak seperti yang saya setuju pada hari saya diberikan taklimat. Banyak isu saya tak boleh nak ketengahkan dalam video ini,” jelasnya.
Serentak penjelasannya di Instagramnya, Amelia berterima kasih kepada peminatnya kerana sentiasa memberikan sokongan di sepanjang kariernya. – BOOM!