Apakah sudah tiada pelakon lain? Frasa itulah acap kali penonton lontarkan bila melihat sesebuah drama atau filem dibarisi pelakon sama.
Pendek kata watak tersebut ibarat industri seakan-akan sudah mempunyai templat khusus untuk memenuhi kehendak watak itu.
Hal itu menarik tumpuan pelakon Idzham Ismail dan menyuarakan tentang isu tersebut.
“Penonton pun mesti dah boring tengok pelakon sama. Bukan nak cantas rezeki orang tetapi bagi saya kena ada pertukaran.
“Maksudnya pelakon yang berbakat ini cuba bagi mereka peluang mainkan watak utama.
“Tak semestinya kena ada jumlah pengikut media sosial yang besar, mungkin sebaliknya andai cerita lakonan mereka meletup, tetap akan dapat liputan yang tinggi juga,” katanya.
Bahkan kata aktor yang mula mencipta nama menerusi drama rantaian Juvana (2011) itu lagi, sudah terbukti ada pelakon yang pengikutnya dalam jumlah besar tetapi karya lakonan tidak meletup.
“Tak salah pun kalau pelakon baharu dan ada jumlah pengikut yang banyak kemudian diberikan watak utama.
“Tapi ada watak-watak yang memerlukan pelakon yang sesuai dan boleh membawakan sesebuah watak itu,” ujarnya lagi.-BOOM!