Kisah pemergian pengasas kosmetik Dnars Skincare iaitu Faziani Rohban Ahmad kembali menjadi perhatian ramai apabila ahli keluarga arwah menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian Allahyarham.
Menurut laporan media semalam, ahli keluarga mengesyaki terdapat unsur lain terhadap kematian Allahyarham selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand tiga tahun lalu.
Berikutan itu, pendedahan ahli keluarga termasuk anak perempuan Allahyarham iaitu Irdina Hakim Jasman kembali ‘dikorek’ netizen menerusi beberapa perkongsian video di aplikasi TikTok.
ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Allahyarham Pengasas Dnars Lapor Polis, Syak Kematian Ada Unsur Lain Selain Kemalangan
Salah satu video dimuat naik Irdina atau mesra dipanggil sebagai ‘Gegirl’ pada bulan lalu telah bercerita dengan ringkas mengenai situasi dihadapi adik-beradiknya selepas ibu mereka meninggal dunia.
Usahawan berusia 19 tahun itu mendakwa, mereka empat beradik seolah-olah dibuang oleh bapa tirinya, berbeza ketika hayat ibunya dimana empat beradik tiri lain turut dijaga Allahyarham.
“Masa mami (arwah ibu) hidup, dia jaga lapan orang anak. Empat anak kandung, empat anak tiri (bapa tiri dengan isteri lama). Atas sampai bawah termasuk anak tiri disaluti emas dan berlian, jenama mewah.
“Bila mami saya dah tiada, kami dibuang dan dikhianati bapa tiri. Abang saya dipenjarakan, saya dihalau rumah dan adik saya tidak dijaga (seorang lagi adik perempuan dipercayai di bawah jagaan bapa tiri),” tulisnya.
Menerusi video berdurasi 11 saat itu lagi, Irdina turut mendakwa bapa tirinya sudah mula menjalin hubungan ‘skandal’ (yang kini isteri baharu) ketika arwah ibunya masih hidup.
“At the end, dapat tahu bapa tiri skandal dengan bini baharu dia sejak Mami hidup. Betul orang cakap, kebaikan belum tentu dibalas kebaikan,” ujarnya.
Terdahulu, kemalangan berlaku pada bulan Ramadan itu menyebabkan Allahyarham Faziani maut di lokasi kejadian, manakala suaminya mengalami kecederaan. – BOOM!