Pengasas produk kecantikan yang juga pensohor media sosial, Aleeya Zailan, 37, tidak menolak untuk menceburi industri hiburan tempatan jika berpeluang.
Pun begitu, pemilik jenama Avenys itu berkata, keberadaannya di dalam bidang kreatif bukanlah selaku ‘pemain’ utama, namun cukup sekadar penaja yang berada di sebalik tabir.
“Saya bukannya tak sukakan hiburan, malah keluarga saya pun memang gemar menyanyi dan berhibur.
“Namun saya dan suami mempunyai empayar perniagaan untuk diuruskan, tidak hanya bergantung harap kepada kakitangan syarikat semata-mata.
“Jika mahu membabitkan diri dalam bidang ini, cukuplah sebagai penaja atau rakan strategik yang duduk di belakang kamera, tidak begitu menyerlah.
“Biar jenama atau bisnes kami yang ke depan, bukannya diri kami,” jelasnya.
Aleeya cukup terkenal di laman Facebok dan TikTok menerusi video-video masakannya bersama suami yang dikenali dengan nama Big Boss.
Katanya, pemilihan program atau rancangan perlulah bersesuaian dengan produk-produk di bawah jenama Avenys.
Selain produk kosmetik, menurut Aleeya, dia turut mengeluarkan beberapa koleksi tudung dan pes makanan sebagai cabang niaganya. – BOOM!