Pelakon, pelawak dan penyanyi, Ieda Moin dimasukkan ke sebuah pusat perubatan akibat tekanan darah tinggi pada Jumaat lalu.
Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abdul Moin, 43, berkata, dia asalnya mahu membuat pemeriksaan kesihatan selepas mendapati dirinya sukar bernafas.
“Mulanya badan rasa tak sedap dan alami kesukaran bernafas. Sebelum ini saya tidak pernah hidap sakit darah tinggi.
“Tetapi sebaik lakukan pemeriksaan, saya terkejut dengan bacaan mencecah hingga 196. Kemudian doktor pakar periksa tekanan darah saya naik sampai 220,” ceritanya.
Menurut personaliti Suke TV itu, mukanya juga terasa kebas selain di bibir dan bahu, namun masih boleh bergerak seperti biasa.
Tambahnya, dia kini ditahan di wad untuk rawatan lanjut dan perlu berada di bawah pemantauan doktor.
“Doktor mahu pantau dan periksa sama ada ada penyakit lain atau sebaliknya,” jelasnya.
Ceritanya lagi, doktor yang merawatnya berasa pelik kerana Ieda boleh berjalan ketika datang membuat rawatan.
“Lazimnya, dengan bacaan tinggi sebegitu, ia boleh menyebabkan saluran darah pecah dan takkan mampu untuk bergerak,” katanya sambil memanjatkan rasa syukur. – BOOM!