Biarpun kini dikenali sebagai usahawan berjaya, namun naib juara Sinaran Pasport Kegemilangan musim ketujuh, Erna Elliyana Rosli, 33, atau mesra disapa sebagai Erna mengakui hatinya masih belum tertutup untuk kembali memeriahkan bidang nyanyian dan lakonan.
Menurut pengasas Kamya Glow itu, bagi mengubati kerinduannya dalam dunia seni, Erna akan membuat kemunculan khas sekiranya mempunyai ruang.
Namun begitu, jelas adik kepada pelakon dan bekas penyampai radio Ikhwan Rosli berkenaan, ia hanya sekadar projek istimewa dan bukan kembali secara serius.
“Saya bersama suami, Syed Mahadzir Fadaak mula menceburkan diri dalam bisnes sejak 2015 lagi.
“Sejak itulah kami beri komitmen penuh terhadap apa yang dilakukan sekarang. Memang masih minat menyanyi, cuma sampai satu tahap, saya rasakan adakah ini yang saya mahu.
“Tempuhi cabaran demi cabaran, akhirnya saya kongsikan hasrat kepada suami untuk terus komited fokus dalam bisnes.
“Ramai yang bertanya mengenai perkara ini sebenarnya. Jadi itulah jawapan saya. Saya percaya dengan aturan dan rezeki Allah SWT.
“Kalau buat lagu sekali pun selepas ini, ia hanyalah untuk penuhi minat. Tidaklah untuk meletakkan harapan sebagaimana sebelum ini. Begitu juga dengan lakonan meski ada di antara ahli keluarga pun terlibat secara langsung dalam dunia hiburan,” katanya.
Mengulas lebih lanjut mengenai perkembangan dirinya, Erna meluahkan rasa syukur dengan pencapaian Kamya Glow meski pada kemunculan awal mereka berdepan kekangan susulan penularan Covid-19.
“Bila menonton video ulang tahun pertama kami, saya terbayang perjalanan Kamya Glow. Daripada awal sehingga sekarang, rupanya sudah banyak yang dilakukan dalam usaha memperkenalkan jenama ini. Saya bersyukur, puas hati dan berbangga dengan pencapaiannya.
“Kalau nak diikutkan, Kamya Glow masih lagi ‘bertatih’ dalam industri lingkungannya, akan tetapi kami tidak bersaing dengan produk kesihatan dan gaya hidup sedia ada.
“Sebaliknya, saingan kami adalah diri sendiri. Kami hanya mahukan yang terbaik dari semasa ke semasa. Sebab saya percaya, siapa yang laju dialah yang akan maju.
“Malah, penerimaannya di kalangan pengguna yang kami gelar sebagai KamyaLovers juga positif. Setiap hari, ada sahaja maklum balas yang diterima sama ada menerusi telegram atau di media sosial,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Alpha Raya di The Marquee @ Puteh Subang baru-baru ini.
Sebagai info, ketika usianya masih kecil, Erna yang dikenali dengan lagu Bukan Untuk Sesaat itu pernah menerjui filem Suami, Isteri dan… di samping bintang utamanya, Datuk Rosyam Nor dan Lydiawati. – BOOM!