Pelakon remaja, Atiq Azman telah diminta bapanya untuk menjual motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 miliknya selepas dua kali terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Atiq atau nama sebenarnya, Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 22, menjelaskan, sebaik mengalami kemalangan kali pertama pada 2020, dia telah membaiki dan menggunakan semula motosikal berkenaan.
Namun dia masih belum membaiki motosikal tersebut selepas kemalangan terbaharu pada 11 Mac lalu di Bukit Fraser, Pahang.
“Abi (bapa) kata sudah dua kali kemalangan dengan motosikal sama, lebih baik dijual sahaja. Lagipun saya baru berusia 22 tahun, bagi Abi, saya masih terlalu muda untuk membawa motosikal berkuasa tinggi.
“Selepas kemalangan baru-baru ini, saya masih berfikir sama ada untuk membaiki atau menjualnya. Orang kata, jangan gunakan lagi kerana badi bimbang akan kemalangan sekali lagi,” katanya.
Tambah Atiq yang mula popular dengan drama Nur itu, seumur hidupnya, dia pernah mengalami kemalangan sebanyak tujuh kali termasuk satu kemalangan kereta.
Sungguhpun begitu, dia mengakui tidak serik untuk menunggang motosikal sehingga sekarang, termasuk ke set penggambaran.
“Sebenarnya sudah banyak kali saya kemalangan motosikal dan cuma sekali ketika menaiki kereta.
“Memang saya masih fobia, meskipun selepas dua bulan kemalangan, sakit pada bahagian bahu masih terasa.
“Tetapi saya tidak serik untuk menunggang motosikal kerana memang minat. Cuma kini, saya lebih berhati-hati.
“Abi berpesan, wajah dan badan saya adalah aset untuk karier seni, jika cedera atau berparut, secara tidak langsung akan menjejaskan sumber rezeki.
“Saya pula tidak pandai buat kerja lain selain berlakon,” tuturnya.
Disebabkan kecederaan bahu yang dialami belum pulih sepenuhnya, Atiq masih tidak melakukan aktiviti lasak seperti melakonkan adegan berlawan. – BOOM!