Penyanyi terkenal Indonesia, Ari Lasso akhirnya kembali ke pentas persembahan selepas 10 bulan berjuang melawan penyakit kanser limfoma dihidapinya.
Bekas vokalis kumpulan Dewa 19 itu mengejutkan peminat apabila muncul menjayakan persembahan di Allo Bank Festival 2022 pada Ahad lalu.
Diberi peluang kembali beraksi selepas proses rawatan kanser adalah satu rahmat yang amat dihargai oleh Ari.
“Saya sungguh bersyukur kepada Tuhan, saya tidak tahu hendak bercakap apa lagi kecuali mengucapkan rasa syukur.
“Saya boleh kembali menyanyi lagi kerana berkat doa kalian (peminat),” ucapnya.
Luahnya lagi, berperang melawan kanser limfoma adalah fasa terberat dalam kehidupannya dan menyifatkan penyakitnya itu sebagai ujian Tuhan.
“Pelajaran hidup itu datang dalam pelbagai bentuk, salah satunya saya tidak pernah menyangka melalui fasa hidup yang luar biasa berat.
“Tapi saya juga sangat tidak sangka akan dapat melepasi fasa berat ini, jadi hidup penuh kejutan,” tuturnya lagi.
Sejak mengumumkan menghidap kanser limfoma pada September 2021, Ari Lasso yang telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali dan telah bebas daripada kanser sejak Februari 2022. – BOOM!