Drama 7 Hari Mencintaiku 3 (7HMK) baru sahaja melabuhkan tirainya kelmarin.
Namun persoalan yang bermain untuk satu musim ini akhirnya terungkai dan keluarga Pak Samad kembali bahagia walaupun bekas komando itu meninggal dunia.
Sudah tiga musim bersiaran, ketiga-tiganya mendapat sambutan hangat daripada penonton waima plot cerita hampir sama.
Sebelum ini, ramai yang meluahkan pendapat bahawa drama 7HMK tidak perlu dilanjutkan kerana bimbang jalan cerita akan semakin celaru kerana tiga musim sahaja sudah membuatkan emosi penonton turun naik.
Seakan-akan menyedari rungutan peminat setia drama tersebut, penulis skrip 7HMK, Siti Rosmizah Semail memaklumkan yang tiada lagi lanjutan kisah keluarga Pak Samad selepas ini.
Hal tersebut dinyatakan sendiri oleh Siti Rosmizah yang juga seorang peguam menerusi media sosial dengan menzahirkan rasa terima kasih kepada keluarga 7HMK dan mengucapkan selamat tinggal untuk naskah terbabit buat selamanya.
“Ucapan terima kasih tak terhingga pada pasukan produksi drama TV3 yang telah memberikan kerjasama yang baik.
“Apa jua kekurangan daripada karya ini atas kelemahan Kak Siti kerana yang terbaik itu hanya dari Ilahi.
“Insya-Allah ada rezeki kita berjumpa di karya Andai Itu Takdirnya. Selamat tinggal keluarga 7 Hari buat selamanya,” tulisnya.
Perkongsian itu telah mendapat pelbagai maklum balas daripada warganet yang rata-rata mengucapkan tahniah serta terima kasih kepada beliau diatas karya yang cukup istimewa ini.
Jalan cerita serta lakonan yang cukup mantap daripada barisan pemain watak 7HMK ini benar-benar berbekas dalam hati penonton kerana setiap episod trending di media sosial. – BOOM!