Gara-gara jarang berkongsi gambar bersama suaminya di media sosial, rumah tangga pelakon dan hos, Adriana Adnan dikatakan bermasalah oleh peminat.
Menjawab persoalan tersebut, Adriana, 27, berkata, dia lebih senang berkongsi tentang kisah kerjayanya berbanding hal peribadi di mana-mana platform media sosialnya.
“Media sosial kami lebih tertumpu kepada kerjaya dan rakan-rakan sahaja. Suami pun bukanlah seorang yang suka bergambar atau mahukan perhatian.
“Dia pun jarang berkongsi tentang saya di media sosialnya. Kami lebih selesa begitu.
“Lebih baik tidak berkongsi kisah peribadi supaya peminat lebih fokus kepada kerjaya saya,” katanya.
Hos rancangan HLive! berkenaan mendirikan rumah tangga dengan akauntan, Harez Hazim Hazrin pada 30 Ogos 2019.
Justeru, sementelah tiga tahun berumah tangga, Adriana mengakui dia tidak tertekan biarpun sering ditanya soal cahaya mata.
“Saya sentiasa berdoa agar Allah kurniakan zuriat pada waktu yang sesuai sebab sekarang ini kami berdua agak sibuk dengan urusan kerja,” mohonnya.
Adriana kini muncul dengan drama bersiri terbaharu terbitan Viu Originals berjudul Seribu Nina dan buat pertama kalinya bergandingan dengan Syafiq Kyle dan Marsha Milan.
Diarahkan oleh Umi Salwana Omar, naskhah yang bakal menyaksikannya mengembara ke pelbagai dimensi kehidupan itu akan mula bersiaran pada 19 Mei 2022. – BOOM!