Selepas mendedahkan dirinya sedang menyulam cinta, penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu kini mengakui sudah menerima tanda sebagai ikatan hubungannya dengan penerbit eksekutif stesen televisyen, Muhammad Sufian Che Isa, pada Ahad lalu.
Idayu yang mesra disapa Mummy berkata, tanda yang berupa barangan kemas itu diberikan selepas ahli keluarga kedua belah pihak bertemu bagi berbincang lanjut menjelang hari bahagia mereka.
Mas Idayu atau nama sebenarnya, Mas Idayu Mesnun dan Sufian merancang untuk melangsungkan perkahwinan September depan.
“Baru beberapa hari pihaknya hantar tanda. Bukanlah bertunang atau merisik. Sesi tersebut lebih kepada saling mengenali keluarga dan dia hadir sekali memberikan ‘tanda’.
“Perjumpaan dilakukan di kediaman keluarga saya. Kiranya, inilah Syawal paling bermakna buat saya. Tarikh nikah pun dah pilih, cuma kami tunggu masa sesuai untuk umumkan.
“Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Jujurnya, saya pun tak sangka dia akan ‘meninggalkan’ tanda untuk hubungan kami.
“Apa yang Sufian berikan, biarlah rahsia. Nanti saya akan beritahu di media sosial,” katanya meminta peminat bersabar.
Mengulas mengenai persiapannya bergelar raja sehari, juri program baharu di Astro Ria, Karaoke Superstar itu menjelaskan ia sedang berjalan.
“Persiapan boleh kata 70 peratus dah siap, tinggal lagi untuk pilih lokasi dan beberapa hal lain. Ikutkan perancangan setakat ini, kami akan buat majlis berinai dan khatam al-Quran.
“Insya-Allah majlis nikah dilangsungkan pada belah pagi dan resepsi pula di sebelah malamnya,” kata Idayu yang bakal muncul dengan produk penjagaan wajah jenamanya sendiri.
Pelantun lagu Cintaku 100% itu juga menyediakan hadiah khas dan eksklusif buat tetamu yang diundang hadir pada majlis perkahwinannya kelak. – BOOM!