Pasangan selebriti, Ellie Suriaty sah bercerai dengan suaminya, Azri Iskandar dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Ellie, 53, perceraian itu terjadi kerana mereka sudah tidak serasi lagi bersama selepas 19 tahun berkongsi hidup dan dikurniakan dua cahaya mata.
Pelakon berkarakter terbabit memfailkan permohonan cerai terhadap Azri, 54, sebelum Ramadan lalu.
“Ini keputusan yang sukar tetapi saya sudah fikirkan semasak-masaknya. Jodoh kami sampai sini sahaja.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Azri atas semua saat indah, kenangan manis serta pengalaman hidup sepanjang kami lalui sebagai suami isteri.
“Dia seorang bapa yang baik dan cukup menyayangi anak-anaknya,” kata ibu kepada Azrell, 18 dan Azreen,13.
Ellie yang bakal muncul menerusi filem Telaga Suriram berharap semua pihak dapat mendoakan kesejahteraan buat mereka sekeluarga. – BOOM!