Foto yang dimuat naik di laman Facebook rasmi milik perunding kesihatan terkenal, Kevin Zahri pada minggu pertama Syawal baru-baru ini tiba-tiba menjadi satu isu sensasi.
Masakan tidak, terdapat segelintir warganet bertindak menegur secara keras tindakan Kevin mencium anak lelakinya di bahagian bibir kerana dikatakan bertentangan dengan norma masyarakat tempatan.
Namun pada masa sama, ada juga sebahagian pelayar di media sosial berpendapat, tindakan kedua-dua beranak itu adalah perkara normal dan percanggahan tersebut akhirnya mencetuskan senario hangat perdebatan sesama mereka.
Salah seorang pengikutnya meninggalkan komen berkata, Kevin tidaklah mencium mulut, tetapi hanya memberi kucupan mesra pada atas bibir.
“Adoi, kata mata tajam sangat! Tengoklah betul-betul, mana ada mereka bercium? Itu kan bahagian antara bibir dan hidung,” kata seseorang mempertahankan Kevin.
“Yang dilarang tu bercumbu, bukannya bercium. Kau tahu beza tak maksud cumbu dengan cium?” persoal seorang peminatnya kepada umum.
Sebagai info, cumbu membawa maksud saling berkucupan mulut ke mulut, manakala cium pula adalah perbuatan mengucup bibir di mana-mana bahagian atau permukaan subjek mahupun objek. – BOOM!