Sekadar cuba-cuba menyertai pertandingan nyanyian atas talian, Ashira Aziz tak menyangka tuah akan menyebelahinya.
Finalis Gegar Vaganza musim ketujuh itu berkata, dia mendapat tawaran merakam lagu daripada sebuah label muzik berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Ashira atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 38, memaklumkan, dia berjaya memenangi pingat perak dalam sebuah pertandingan dinamakan iBallin.
“Modal untuk sertai pertandingan itu hanya RM25 saja sebagai yuran penyertaan.
“Saya hantar video berdurasi dua minit, nyanyi lagu Easy On Me dan mula-mula menang gangsa.
“Lepas tu di peringkat seterusnya saya nyanyi lagu It’s All Coming Back To Me Now. Tak sangka menang Perak pula, sekali gus ditawarkan peluang itu (rakam lagu),” katanya memetik perkongsian di Instagram.
Pun begitu, dia akan berbincang secara terperinci bersama penganjur iBallin bagi merancang proses rakaman itu kelak.
“Buat masa ini saya belum sempat berjumpa dengannya kerana masih sakan beraya.
“Proses rakaman akan dibuat di sini, tetapi belum putuskan sama ada lagu Inggeris atau Melayu,” katanya. – BOOM!