Penyanyi Sufian Suhaimi akui hari raya yang diraikan cukup berbeza selepas ketiadaan nenek tersayang.
Kata Sufian, kegembiraan dan perasaan seronok yang dirasai tidak sama seperti tahun-tahun terdahulu semasa arwah nendanya masih hidup.
“Tahun ini adalah kali pertama balik beraya tanpa arwah nenek. Raya sebelum ini pun nenek dah tak ada tetapi tidak boleh nak pulang ke kampung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).
“Suasana, perasaannya cukup berbeza apabila nenek tiada. Memang tak sama. Arwah nenek sangat bersederhana tetapi bagi saya dia adalah pengikat kekeluargaan,” katanya.
Bagaimanapun kata Sufian, mereka tetap menziarahi sanak-saudara walaupun tradisi untuk berkumpul ramai-ramai agak sukar dilakukan selepas ketiadaan arwah neneknya.
“Kita boleh rasa perbezaannya apabila dia tiada, hubungan kekeluargaan tu memang masih ada, namun dah tak erat macam dulu.
“Macam dulu kita ada alasan pulang ke kampung untuk berkumpul ramai-ramai. Jadi tahun ini kami mahu ke Mersing untuk bertemu sanak-saudara.
“Walaupun tak ada satu hari yang kita boleh lengkap kumpul semuanya, tetapi ibu seorang yang sentimental dan dia nak jumpa semua adik-beradik.
“Jadi tahun ini juga lebih kepada ‘family bonding’ sebab kita dah lama, dua tahun tak jumpa saudara-mara,” ujarnya. – BOOM!