Sudah berada hampir 12 tahun dalam industri hiburan, ternyata tempoh yang panjang itu banyak memberikan pengajaran buat penyanyi sensasi, Baby Shima.
Sering menjadi mangsa kecaman warganet, dia semakin hari semakin lali dengan tindakan mereka yang dikategorikan ‘tak ada kerja’.
Pemilik nama penuh Nor Ashima Ramli itu sedar, dia memang tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang ataupun memaksa sesiapa untuk menyukainya.
“Apa saja yang saya buat, mesti kena kecam. Selagi nama saya Baby Shima, ada saja yang tak kena di mata mereka.
“Misalnya isu derma yang saya buat baru-baru ni, mereka kata itu hanya gimik. Padahal tidak! Buat benda baik pun nak kecam.
“Jadi saya rasa, lantaklah mereka nak cakap apa pun. Saya dah tak kisah!” bidasnya menetapkan pendirian.
Penyanyi yang sedang hit dengan lagu Lalai itu mengakui, mulanya dia mengalami tekanan jiwa setiap kali dikecam atau dihentam oleh khalayak.
Namun lama-kelamaan, Shima anggap perkara dilaluinya saban hari itu sebagai asam garam bergelar anak seni.
“Tipu kalau saya kata tak pernah down. Tetapi lepas difikirkan balik, bukannya mereka yang akan tolong bila saya susah atau ditimpa masalah.
“Selama belasan tahun saya dalam industri ini, susah senang hanya saya sendiri yang tahu. Asalkan saya tak kacau hidup orang lain, itu dah cukup,” ujarnya akur menerima nasib yang melanda.
DI samping itu, berkongsi tentang karier nyanyiannya, dijangkakan Shima akan terbang semula ke Indonesia selepas Aidilfitri ini untuk menyambung kerja-kerja seni yang tertangguh akibat pandemik. – BOOM!