Sebelas tahun mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati, Avaa Vanja sedikit pun tidak menyesali liku perceraian dilaluinya.
Malah aktres Kala Malam Bulan Mengambang tersebut menyifatkan, kehancuran mahligai yang dibina atas dasar cinta itu sebagai suratan takdir Ilahi.
“Seperti dilaporkan media sebelum ini, proses perceraian berpunca akibat penderaan yang saya alami.
“Bermula dari situ, saya tanam tekad untuk selamatkan diri dan tamatkan penderitaan.
“Saya kahwin selama 11 tahun dan selama itu juga saya ambil masa untuk keluar dari zon tidak selamat,” akuinya.
Tambah Avaa atau nama sebenarnya Avaa Vanja Mohamad Ramli, 42, hampir tiga tahun dia hidup sendiri, di samping menempuh detik kehamilan sambil mengusung perut.
“Masa nak bersalin, baru nampak batang hidung bekas suami. Itupun sekejap saja sebelum dia sambung merantau.
“Lepas bayi yang saya lahirkan itu berusia dua tahun, baru dia muncul. Jadi, macam mana saya nak bersabar kalau berada dalam situasi sebegitu?” soalnya.
Sebagai rujukan, Avaa dan bekas suaminya seorang pemuzik iaitu Aamil Sulaiman, 37, sah bercerai pada 7 Februari lalu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Ia rentetan kes tuntutan perceraian yang difailkannya sendiri pada Oktober 2021 setelah mendakwa dia dan anaknya, Merlissa, 10, berdepan isu penderaan domestik. – BOOM!