Langkah kerajaan Selangor yang mengecualikan duti hiburan selama setahun disambut baik warga seni yang sebelum ini memohon hal berkenaan dikaji semula.
Datuk Norman Abdul Halim berkata, langkah itu juga wajar diikuti kerajaan negeri lain termasuk kerajaan Persekutuan dalam usaha memberikan peluang industri seni bernafas semula.
Beliau dalam satu muat naik di laman Instagram miliknya berkata, sepatutnya duti hiburan dilupuskan terus demi menggalakkan perkembangan industri kreatif negara.
“Bukan saja di Selangor tapi seluruh Malaysia. Itu sebab harga tiket konsert, pawagam, taman tema jadi mahal.
“Risiko kewangan nak anjurkan acara, menguruskan taman tema dan tayangan filem sangat tinggi,” katanya.
Norman menambah, di Malaysia hanya Sabah yang tidak mengenakan duti hiburan.
Lantaran itu, katanya kerajaan Persekutuan dan negeri lain wajar memberi sokongan sama kepada industri kreatif.
Kerajaan Selangor pada 8 April lalu, bersetuju memberikan pengecualian duti hiburan selama setahun untuk bayaran masuk pertunjukan pentas (bertiket) bagi artis tempatan berkuat kuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2022.
Pengecualian itu bagaimanapun tidak terpakai untuk artis antarabangsa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima pandangan dan maklum balas orang ramai terutamanya golongan seni berkenaan pelaksanaan duti hiburan yang menjadi perhatian baru-baru ini. – BOOM!