Penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun mendedahkan dia pernah berdepan detik mencemaskan apabila Yasin Sulaiman hilang kawalan hingga menghambur kata-kata kesat padanya.
Katanya, insiden Yasin mengamuk itu berlaku sekitar 2018 di sebuah studio dan disaksikan oleh beberapa orang pekerjanya.
“Dia pernah tunjuk (gangguan emosi) sekali. Memang habis semua orang dimakinya, sampai satu studio terkejut. Dia datang kemudian terjerit-jerit.
“Kami sendiri pun tidak pasti apa yang mengganggu emosinya pada waktu itu,” katanya.
Namun, menurut Hafiz, selepas kejadian, setiap kali bertemu, Yasin pasti meminta maaf dan menjelaskan situasi sebenar.
“Katanya dia mengalami tekanan dan tidak dapat mengawal kemarahan,” jelasnya.
Hafiz, 37, menjelaskan, dia sedikit pun tidak menyimpan walau sekelumit dendam terhadap komposer dan penyanyi terbabit yang kini sedang berdepan hukuman mati akibat tuduhah mengedar dadah.
“Saya sudah lama mengetahui masalah kesihatan dialaminya. Beberapa rakan dalam industri memaklumkan Yasin menghidapi bipolar.
“Saya juga mengetahui bahawa dia sering berulang alik mendapatkan rawatan di beberapa buah hospital akibat penyakit mentalnya itu,” tuturnya.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu baru Rabbani berjudul Husnul Khatimah di Dsaji Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur semalam.
Yasin yang juga bekas vokalis Brothers itu dan memperjuangkan lagu berentak world music didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja dianggarkan seberat 214 gram.
Dia berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu di Mahkamah Sesyen, Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok ganja.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan. – BOOM!