Selepas lebih dua dekad berdiri sebagai salah satu kumpulan nasyid popular tanah air, Inteam mengatur strategi untuk terus kekal relevan dalam industri muzik.
Selain bergerak seiring dengan teknologi dan pemasaran secara digital, mereka juga memilih untuk berkolaborasi dengan penyanyi muda bagi menarik peminat baharu.
Selepas Khai Bahar, mereka memilih untuk berduet dengan penyanyi Sufian Suhaimi buat single terbaharu yang bakal dilancarkan pada Ramadan ini.
“Jadual kami semakin padat sekarang tambahan pada bulan Ramadan memang penuh.
Kami juga merancang untuk mengeluarkan single baharu yang masih dalam proses pembikinan pada Ramadan ini.
“Dulu, kami berduet dengan Khai Bahar menerusi lagu Setanggi Syurga dan kali ini kami pilih Sufian Suhaimi pula. Kami perlu ada strategi mencari peminat baharu selain mengekalkan peminat lama,” kata Hazamin.
Dalam pada itu, Inteam juga akan melancarkan video muzik lagu Selimut Kasih yang penggambarannya dilakukan ketika mereka berada di Syria dan Turki pada Februari lalu kerana mengikuti misi kemanusiaan bersama Pertubuhan Peduli Insan Malaysia.
“Kami sempat merakam momen-momen menarik untuk video muzik lagu Selimut Kasih yang dijadikan lagu tema misi kemanusiaan tersebut.
“Jika tiada aral kami merancang untuk mengeluarkan video muzik Selimut Hati selepas sambutan Aidilfitri,” ujar Syah. – BOOM!