Mewarnai arena muzik tempatan, enam pemuzik berpengalaman membentuk kugiran baharu yang dinamakan Imagi.
Tidak menaruhkan imej atau muzik yang ‘trending’, Imagi menghasilkan debutnya dalam genre rock alternatif yang jarang diketengahkan dewasa ini.
Kugiran ini dianggotai enam ahli iaitu Haziq Haminorddin sebagai vokalis, Fitri Johari atau Bab (vokalis/gitaris), Zulhilmi Ali atau Amy Bong (pemain keyboard), Abror Mustafa (pemain bass), Nazmi Muzaffar (gitaris utama) dan Hafidz Safar (pemain dram).
Merasuk dicipta sepenuhnya oleh Amy Bong yang juga merupakan seorang komposer, sekali gus bertanggungjawab menghasilkan pelbagai karya artis-artis terkenal Malaysia.
Menariknya menurut Bab, single ini merupakan adaptasi daripada kisah benar yang menceritakan tentang cinta seorang lelaki ditolak oleh seorang wanita.
“Dek kehilangan cinta, lelaki tersebut terseksa dan tak keruan kerana dapat menerima takdir bahawa cintanya itu ditolak sehingga sanggup melakukan apa saja asalkan dapat bersama wanita yang dicintainya itu,” ujar Bab.
Sesi rakaman kumpulan yang bernaung di bawah Rocketfuel Entertainment itu mengambil masa selama seminggu di Studio Alibaba Records. – BOOM!