Biarpun Wan Noor Baizura atau lebih dikenali sebagai Kak Long 7E telah memohon maaf dan menyesali akan tindakannya yang disifatkan menghina golongan orang kurang upaya (OKU), namun orang ramai masih terus mengecamnya.
Terbaharu, Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang mewakili OKU di Malaysia menyelar tindakan Kak Long yang dilihat menjatuhkan maruah golongan istimewa itu.
Malah Ras turut menuntut agar Kak Long membuat permohonan maaf secara terbuka dan membuat aktiviti amal sebagai pengajaran buat wanita itu
“Kami OKU amat kecewa dan marah dengan tindakan sesetengah individu yang sentiasa melakukan perbuatan mengejek-ejek seperti dilakukannya.
“Saya menyeru agar individu berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka serta melakukan aktiviti amal sebagai pengajaran kepada beliau dan orang lain” kata Ahli Dewan Negara berkenaan.
Dalam pada itu, melihat kes seumpama itu sering terjadi, Ras berasa kesal kerana perihal mengenai OKU dilihat seperti ‘rapuh’ dan menggesa agar pihak berwajib segera menguatkuasakan undang-undang lebih ketat. – BOOM!