Berangkat ke Tanah Suci pada 4 Mac lalu bagi menunaikan umrah bersama kedua-dua ibu bapanya, Reen Rahim berdoa agar rezekinya sentiasa melimpah-ruah.
Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 34, berkata, satu hari nanti dia harap ibu bapanya dapat hidup senang-lenang menerusi hasil titik peluhnya sendiri.
“Berpeluang berada di sini saya tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar terus dimurahkan rezeki serta dipermudahkan urusan dunia dan akhirat.
“Jika rezeki saya dah banyak, barulah mak dan abah boleh jadi bos di rumah, berehat goyang kaki sambil menikmati kehidupan lebih senang,” kongsinya.
Berkata kepada media, Reen pada asalnya sekadar mahu menghantar orang tuanya saja menunaikan umrah, tetapi di saat akhir hatinya terbuka untuk turut serta menjejakkan kaki ke Mekah.
“Hebat sungguh perancangan Allah. Tiba-tiba terdetik sekali untuk mengikuti mereka ke sana. Alhamdulillah,” ucapnya.
Aktres itu sempat menitipkan pesanan agar peminat tidak berkira-kira membelanjakan wang untuk menghantar ibu bapa mengerjakan ibadah. – BOOM!