Hasil siasatan lanjut, polis mendedahkan baru saja menemui bukti baharu atas kes kematian melibatkan aktres Thailand, Tangmo Nida.
Mereka menjelaskan, terdapat seseorang yang duduk di bahagian belakang bot laju berkenaan sebelum Tangmo terjatuh ke dalam sungai.
Ketua Polis Wilayah 1, Letjen Jirapat Phumichit berkata, bukti tersebut diperoleh daripada satu CCTV yang terdapat di sebuah bangunan di tepi Sungai Chao Phraya.
Rakaman menunjukkan seseorang berdiri dan duduk di belakang bot laju itu pada 24 Februari lalu pukul 10.34 malam.
“Bukti itu berguna kerana akan membantu penyelidik mendapatkan penjelasam lebih lanjut mengenai kes ini,” katanya memetik laporan CNN.
Penyelidikan terperinci diperlukan sebelum polis mengesahkan individu terbabit adalah Tangmo.
Sementara itu, Pengarah Pusat Ilmu Forensik Thailand, Songsak Raksaksakul memberitahu pihaknya membentuk panel untuk melakukan bedah siasat kedua ke atas mayat pelakon Ghost of Mae Nak itu. – BOOM!