Susulan kejayaan lagu Gadis Jolobu nyanyian Datuk Hattan bersama Waris, produksi Tremendous Entertainment dan Zebra Studio mengambil kesempatan itu untuk mengangkat judul sama ke layar perak.
Menyasarkan untuk memasarkan Gadis Jolobu The Movie pada Jun tahun ini, syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik itu melantik CL Hor untuk mengarahkan filem tersebut.
Pengasas Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi berkata, filem lakonan Hattan, Joey Daud, Khir Rahman dan Ahirine Ahirudin itu bakal mengetengahkan budaya masyarakat Negeri Sembilan berserta loghat setempat.
“Kami teruja untuk memulakan penggambaran filem ini yang kebanyakan lokasinya bertempat di Kampung Lonek, Jempol, Negeri Sembilan.
“Apatah lagi gabungan para pelakonnya juga cukup kuat dengan menjadikan dialek tempatan sebagai bahasa perantaraan.
“Loghat yang mereka bakal guna pakai dalam filem ada antaranya memang cukup pekat dan berkemungkinan memerlukan sarikata untuk pemahaman penonton,” ulasnya.
Tambah Saraleana, idea penerbitan naskhah berkenaan diutarakan oleh Hattan sendiri setelah melihat kecemerlangan karya muzik nyanyiannya.
Di samping pembabitan para pelakon yang berasal dari Negeri Sembilan, kemunculan muka-muka baharu turut menjadi kekuatan filem Gadis Jolobu termasuklah pempengaruh media sosial terkenal, Cikgu Namie dan naib juara Mencari Sepahtu Yang Hilang iaitu kumpulan Gahai. – BOOM!