Hari ini Malaysia bakal menyaksikan sebuah lagi lagu bakal dinobatkan sebagai juara lagu di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 36 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada jam 9 malam dan disiarkan secara langsung di TV3.
Saban tahun sejak era 80-an lagi, peminat seni muzik tanah air menanti-nanti acara penuh berprestij tersebut kerana ia medan meraikan komposer, penulis lirik dan penyanyi, bahkan masih relevan sehingga kini.
Sebanyak 35 edisi sudah diterbitkan, maknanya sudah ada lebih dari 30 buah lagu yang diiktiraf sebagai lagu terbaik setiap tahun.
AJL telah melalui pelbagai revolusi sejak empat dekad yang lalu. Pelbagai jenis genre telah diangkat ke tahap tertinggi.
Bukan setakat memartabatkan lagu, AJL juga turut menjadi platform bagi setiap penyanyi mempamerkan kebolehan mereka dari segi vokal dan juga persembahan kerana dua anugerah bagi kategori berkenaan menjadi rebutan peserta yang bertanding.
Adat pertandingan, pasti ada yang menang dan kalah. AJL juga tidak terlepas daripada kontroversi usai selesai pertandingan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan muktamad daripada barisan juri profesional.
Masih segar di ingatan, sewaktu AJL edisi ke 17 pada tahun 2003 apabila lagu Nirmala ciptaan Allahyarham Pak Ngah dan lirik oleh Che Kem dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza gagal merangkul trofi juara sementelah tewas kepada karya Keliru ciptaan Aidit Alfian nyanyian duet Nurul dan Ajai.
Keputusan AJL pada edisi itu menjadi topik hangat selama beberapa minggu di media cetak dan elektronik, lantas ketelusan pihak penerbitan serta kredibiliti barisan juri diragui.
Barisan juri yang terlibat dalam AJL 17 pula terdiri daripada mereka yang berprolifik seperti Datuk M Nasir, Allayarhamah Datuk Sharifah Aini, Datuk Habsah Hassan, Ahmad Izham Omar, Datuk Aishah, Khairil Johari Johar, Datuk Freddie Fernandez, Khadijah Hashim dan diketuai oleh Datuk Johari Salleh.
Pelbagai spekulasi tercetus dek keputusan yang memeranjatkan ramai itu disebabkan Nirmala menjadi pilihan ramai.
Malah Pak Ngah sendiri pernah mengakui bahawa lagu Nirmala adalah karya teragung pernah dihasilkannya.
AJL edisi ke-20 pada tahun 2006 pula menyaksikan lagu Gemilang ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Asmin Mudin dendangan juara Malaysia Idol pertama iaitu Jaclyn Victor dijulang sebagai juara.
Biarpun persembahan Jaclyn pada malam itu mendapat pujian ramai kerana kemantapan vokalnya, namun kemenangan debutnya dikritik teruk gara-gara liriknya yang disifatkan tidak cukup kuat.
Tambahan pula, lagu Awan Yang Terpilu lontaran Ning Baizura tewas kepada Gemilang sedangkan karya tersebut telah memenangi trofi Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik pada tahun yang sama.
Kemenangan Ana Raffali menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku pada AJL edisi ke 25 pada tahun 2011 juga sesuatu yang mengejutkan.
Ana muncul selaku penyanyi, komposer dan penulis lirik dan sewaktu zaman itu, media sosial sudah diperkenalkan, makanya netizen mula berperang di alam maya menyatakan ketidakpuasan hati masing-masing.
Pada AJL ke-25 itu, Ana berentap bersama penyanyi-penyanyi handalan lain seperti Faizal Tahir yang mempertaruhkan lagu Hanyut, Yuna (Cinta Sempurna), Adira Suhaimi (Ku Ada Kamu), Black Hanifah (Sofea Jane), Hafiz Suip (Noktah Cinta) dan Shahir Zawawi Kebahagian Dalam Perpisahan).
Selain kemenangan posisi juara, satu lagi anugerah yang kerap jadi pertikaian ramai ialah Anugerah Vokal Terbaik.
Pada AJL edisi ke-34, Ernie Zakri yang menyampaikan lagu Ku Bersuara tewas kepada Hafiz, sekali gus pemberontakan daripada peminat penyanyi terbabit.
Justeru, adakah keputusan AJL 36 yang akan diumumkan malam ini bakal menimbulkan satu lagi kontroversi?
Perlu diingat, perkara itu tidak mustahil terjadi berdasarkan rekod AJL selama hampir empat dekad. – BOOM!