Insiden yang tular di media sosial melibatkan pelakon Iqram Dinzly dikatakan mencekik leher rakan gandingannya Mona Allen terlalu kuat sewaktu penggambaran drama Hati Yang Dikhianati mendapat reaksi dari pelbagai pihak termasuk pelakon Mia Nasir.
Menerusi IG Story, Mia, 31, menyifatkan Iqram telah mencetuskan masalah, lantas menitipkan pesanan buat pelakon lelaki terbabit.
“You jangan nak perasan bagus sangat. Sudah tentu I back up Mona!”tulis Mia membela rakan seangkatannya.
Tambah Mia lagi, Iqram membuatkan senario di set penggambaran jadi huru-hara kerana sebelum ini keadaan di situ aman dan tenteram.
Selain itu, adik kepada aktres Anzalna Nasir itu menganggap bintang drama Dunia Baru tersebut sebagai seorang lelaki psiko.
“Sebab we all from beginning damai. You masuk je terus jadi huru-hara. PSYCHOPATH!” tempelak Mia.
Sekadar rekod, drama Hati Yang Dikhianati yang ditayangkan di saluran Astro Prima mula menemui penonton sejak April tahun lalu dan merupakan adaptasi dari telenovela terkenal,Mis Tres Hermanas. – BOOM!