Bintang Asia sekali lagi dilihat menjadi fenomena di majlis anugerah berprestij antarabangsa apabila dua pelakon utama drama bersiri popular terbitan Netflix iaitu Squid Game berjaya merangkul anugerah di Screen Actor Guide Award (SAG Awards) yang berlangsung semalam.
Kedua-dua pelakon yang berasal dari Korea Selatan itu ialah Lee Jung Jae dan Jung Ho Yeon dimana masing-masing membawa pulang Anugerah Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik untuk kategori drama bersiri. Mereka juga telah mencipta sejarah sebagai pelakon dari Asia pertama yang memenangi anugerah ini.
Lee Jung Jae sewaktu memberikan ucapan kemenangannya berkata kemenangan ini adalah sesuatu yang besar buat dirinya.
“Saya telah menyediakan ucapan di atas kertas, tetapi saya rasa saya tidak mampu untuk membcanya sekarang. Terima kasih tidak terhingga kepada SAG Award, juga kepada penonton global diatas sokongan dan cinta anda,” ucapnya.
Sementara itu Jung Ho Yeon pula dilihat tidak mampu menahan sebak dan mengalirkan air mata saat menerima trofi kemenangannya.
Pertama sekali terima kasih yang tidak terhingga. Saya telah menonton kalian semua sebelum ini di kaca televisyen dan berharap satu hari nanti saya akan menjadi seorang pelakon. Terima kasih kerana membuatkan saya bermimpi dan membuka ‘pintu’ untuk saya. Saya sayang anda semua kru drama Squid Game,” ucapnya sebak.
Selain meraih anugerah bagi kategori pelakon, Squid Game juga turut membawa pulang trofi bagi kategori Persembahan Aksi Terbaik Dalam Drama Televisyen.
Drama Squid Game yang muka ditayangkan di platform digital, Netflix pada 17 September 2021 menjadi fenomena di seluruh dunia dalam sekelip mata sekaligus menjadikan drama ini sebagai drama yang paling tinggi jumlah tontonan di Netflix.
Tahniah diucapkan kepada pemenang dan seluruh warga kerja Squid Game. Semoga lebih ramai bakat-bakat Asia dijulang di peringkat global. – BOOM!