Aktres terkenal Thailand yang membintangi filem The Flying Leaf iaitu Tangmo Nida, 38, terjatuh ke dalam Sungai Chao Phraya sewaktu menaiki perahu bersama enam rakannya dari Krung Thon Bridge ke Rama VII Bridge.
Dalam kejadian pada jam 11 malam Khamis lalu, memetik laporan Bangkok Post, Nida yang duduk di bahagian paling belakang dipercayai tidak memakai jaket keselamatan sebelum tergelincir lalu jatuh ke dalam sungat tersebut.
Selepas dua hari operasi mencari dan menyelamat dijalankan, mayat Nida ditemukan terapung sekitar 300 meter dari Pibulsongkram Pier, Nonthaburi, kira-kira satu kilometer dari lokasinya terjatuh.
Berdasarkan kenyataan pihak berkuasa tempatan, abang mangsa iaitu Dayos Detjob, 44, merupakan individu pertama yang menjumpai jasad adiknya sebaik mengecam pakaian dipakai Nida.
“Saya datang untuk membawanya pulang ke rumah,” katanya ringkas ketika hadir di Hospital Umum Polis Thailand setelah proses bedah siasat selesai dilakukan.
Bagaimanapun, status bagi enam rakannya yang turut bersama-sama Nida tidak diketahui. – BOOM!