Penyanyi terkenal, Datuk Aishah Ariffin menyelar segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan gelaran dikurniakan kepadanya baru-baru ini.
Aishah menerusi akaun Instagram miliknya meminta individu terbabit tampil bersemuka dengannya bagi menyelesaikan masalah antara mereka.
“Ada juga yang masih tak puas hati ek? Setakat baling batu sembunyi tangan apa barang babe?
“Berdepanlah kalau berani, cakap apa yang tak puas hati dengan saya!” tegasnya.
Terdahulu, Aishah dianugerahkan pingat Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan ke-74 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada Januari lalu.
Katanya ketika itu, dia bersyukur diberi pengiktirafan sebagai anak seni selama lebih 35 tahun.
Penyanyi Ketentuan Takdir itu pada masa sama meluahkan, mungkin terlalu ramai orang yang berdepan masalah mental kerana sering berasa iri dengan kelebihan orang lain.
“Terlalu ramai orang sakit jiwa sekarang,” katanya membuat kesimpulan. – BOOM!