Di sebalik kemenangan Nor Hidayah Mohd Ali yang merupakan balu kepada pelawak Abam Bocey, keputusan tersebut akan terus disanggah oleh adik iparnya, Ali Puteh.
Meskipun akur, Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan, 34, bertegas, semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya tidak benar.
Dia juga bakal memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi membetulkan beberapa fakta yang didakwanya sebagai kurang tepat.
“Saya akur dengan keputusan ini tetapi saya akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi kerana terdapat fakta yang tidak tepat,” katanya.
Ditanya mengenai kecaman netizen, Ali sejak awal lagi sudah bersedia kerana berpendapat bahawa netizen yang menghentam dan mengecamnya tidak mengetahui kronologi sebenar kes saman yang berlaku antara dirinya dan Hidayah.
“Netizen yang menghentam cuma tahu bahawa saya yang menyaman Hidayah, sebenarnya dia yang memulakannya. Saman ini bermula 15 hari selepas Abam meninggal.
“Saya dituntut ganti rugi am sebanyak RM900,000 dan saya sudah diberi notis untuk diheret ke mahkamah. Kemudian saya perlu jawab dan menghantar saman balas,” jelasnya.
Ditebak dengan soalan dakwaan dia mengabaikan tanggungjawab terhadap anak Allahyarham iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia tiga tahun, Ali menegaskan dia tidak diberi peluang untuk melaksanakan tugas tersebut.
“Orang minta saya ambil berat tentang anak saudara tetapi saya tidak diberi peluang untuk berhubung dengan anak saudara. Macam mana saya nak berhubung, Instagram Abam pun saya tidak boleh buka.
“Saya tahu itu waris saya, sampai satu masa saya tahu mana nak cari dia. Sedikit sebanyak, anak arwah tanggungjawab saya juga,” katanya.
Ujarnya, pihak luar tidak boleh sewenang-wenangnya melemparkan kata-kata negatif tanpa mengetahui situasi sebenar yang berlaku.
“Saya bukan nak burukkan keadaan kerana tidak diberi ruang. Saya risau jika saya pergi (melawat anak arwah), akan timbul isu saya serbu dan sebagainya,” tuturnya usai prosiding di pekarangan mahkamah tempoh hari.
Apa pun yang terjadi kelegaan yang diraih Nor Hidayah hari ini diharap bakal membawa 1,001 sinar baharu dalam kehidupannya, namun perjuangannya untuk mendapatkan hak sebagai balu Allahyarham masih belum berakhir.
Janganlah hanya kerana harta yang tidak boleh dibawa masuk ke liang lahad itu menjadi punca putusnya hubungan kekeluargaan yang sebelum ini terjalin erat. – BOOM!