Pelakon Idris Bakar menghembuskan nafas terakhir ketika usianya 74 tahun akibat kegagalan jantung di Hospital Universiti Islam Antarabangsa, Kuantan Pahang semalam.
Allahyarham meninggal dunia pada pukul 8.14 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) hospital tersebut.
Anak ketiganya, Hanafizah Idris, 49, berkata, arwah bapanya itu sebelum ini mengikutnya pulang ke Kuantan, Pahang pada 14 Februari lalu.
“Saya membawa arwah bapa pulang ke Kuantan untuk menjaganya. Bagaimanapun, pada 16 Februari lalu, arwah terkena serangan jantung pada waktu petang dan dia dimasukkan ke zon kuning sebelum dipindahkan ke wad biasa.
“Kemudian dia dimasukkan ke CCU, namun masih boleh berbual bersama kami melalui panggilan telefon.
“Pun begitu, pihak hospital memaklumkan bapa meninggal dunia pada pukul 8.14 pagi tadi,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Jenazah Idris sebelum itu disolatkan di Masjid Al-Muhajirin Indera Mahkota 5, Kuantan kira-kira jam 12 tengah hari.
Dia kemudian dibawa pulang ke kampung asalnya di Seremban, Negeri Sembilan untuk dikebumikan sebelum solat Asar.
Idris adalah pelakon kacukan Melayu-Belanda dan dilahirkan di Kuala Pilah namun menetap di Kampung Jiboi, Ampangan, Seremban.
Tambah Hanafizah, bapanya seorang pesara hospital serta sudah lapan tahun meninggalkan dunia lakonan dan hanya berehat di rumah.
“Kali terakhir arwah bapa berlakon adalah pada lapan tahun lepas dan lakonan terakhirnya adalah dalam sebuah drama bertajuk Tok Ompek Simpang Ompek,” katanya. – BOOM!