Personaliti masakan terkenal, Datuk Redzuan Ismail atau lebih mesra disapa sebagai Cef Wan meluahkan rasa terkilan terhadap bekas menantunya, Shikin Maembong.
Menerusi sebuah hantaran di laman Instagram, Wan mendedahkan pemilik nama sebenar Siti Nur Ashikin Ismail itu telah mengambil tindakan saman malu terhadapnya susulan teguran cef selebriti itu mengenai kisah perselisihan anaknya, Cef Riz dan Shikin berkaitan anak mereka,Arriana Natasha disifatkan sebagai satu kesalahan.
“Bekas isteri anak saya Shikin Maembong menerusi peguamnya telah menghantar surat saman malu kononnya beberapa bulan yang lalu saya tegur dia dan anak saya Nadzri bergaduh pasal anak itu adalah salah” katanya
Menurut Wan, dia tidak menyangka kakak kepada adik-beradik pelakon terkenal, Chacha Maembong dan Emma Maembong itu sanggup berbuat demikian kerana selama ini dia telah banyak berkorban demi mereka termasuk telah menanggung pelbagai kos perbelanjaan ketika kedua-duanya masih sah bergelar pasangan suami isteri.
“Letih saya nak melayan drama dia ini pun. Tak rasa malu ke semasa susah saya juga yang ke sana dan sini untuk dia dan Arriana, jelaskan semua bil hospital dan macam-macam lagi.
“Sebagai bekas bapa mertua jika saya nasihat dia supaya jangan buat perkara-perkara macam itu salah ke?
“Kita orang tua nasihat yang baik-baik tanpa perlu pergi ke mahkamah untuk lawan hak penjagaan anak” katanya
Dalam pada itu, Wan tidak menolak bahawa tindakan Shikin hanya ingin menjauhkan Ariana daripada bertemu keluarga bapa kandungnya apatah lagi Riz sudah lebih daripada setahun tidak dapat bersua dengan puteri yang tercinta.
“Ramai orang bercerai kongsi jaga anak itu. Ini tidak bagi jumpa sampai hampir lebih dari setahun kerana nak main drama dia. Kasihan anak itu tidak mendapat kasih sayang yang sepenuhnya daripada seorang bapa” katanya lagi
Tegas Wan, Shikin tidak perlu mengeruhkan lagi keadaan dengan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang dianggap sebagai terdesak.
“Dia tak malu ke ada hati nak saman saya nasihat yang baik-baik untuk kedua-dua belah?
“Miskin sangat ke nak saman saya 1 juta? Kasihan kerana mempunyai perasaan yang tidak senang jauh dalam lubuk hati
“Terdesak ke? Kami semua dah lupakan pun. Sangat kurang bijak untuk bergaduh demi seorang anak. Adakah anda terlupa yang anda sudah banyak malukan saya?
“Kasihan anak itu sudahlah!” tegas Wan
Untuk rekod, Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuwan, telah mendirikan rumahtangga dengan Shikin pada 2014 sebelum bercerai dua tahun berikutnya. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Arriana Natasha.
Sebelum Shikin, Riz telah berkahwin bersama pelakon Ana Dahlia pada 2012 namun hubungan mereka hanya mampu bertahan selama 11 bulan.
Pada 1 Januari lalu, Riz kembali bergelar suami buat kali ketiga sebaik menikahi seorang wanita berstatus janda bernama Nurul. – BOOM!