Pendakwah selebriti, Ebit Lew hari ini dituduh di Mahkamah Litar Tenom, Sabah hari ini atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.
Ebit, 37, didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya dalam semua 11 pertuduhan terbabit.
Pendakwah itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terbabit.
Harian Metro melaporkan, pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad dibantu Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Azreen Yas Mohamad Ramli, manakala Ebit diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Majistret Nur Asyraf Zolhani kemudian menetapkan 20 hingga 23 April depan sebagai tarikh penyerahan dokumen, manakala tarikh perbicaraan secara tentatif ditetapkan pada Jun depan.
Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan dua penjamin.
Terdahulu, Ebit yang kini berada di Sabah untuk menjalankan kerja amal tiba di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom pada jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire ditemani sekumpulan individu lain. – BOOM!